Pengunjung pasar raya Hero di Seksyen 13, Shah Alam beratur mengikut penjarakan sosial satu meter sebelum dibenarkan masuk pada 22 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan benarkan keluar lebih 10km beli makanan, ubat

SHAH ALAM, 29 APRIL: Pergerakan lebih 10 kilometer radius dibenarkan bagi membeli makanan, keperluan harian dan ubat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat.

Bagaimanapun, kelonggaran bermula hari ini hingga 12 Mei hanya dibenarkan jika barangan atau perkhidmatan diperlukan tiada dalam radius 10km dari kediaman.

“Dahulu tidak boleh keluar lebih 10km kecuali atas budi bicara polis tetapi sekarang kerajaan sudah wartakan lebih jelas,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Mengulas kelonggaran ketua keluarga dibenar membawa seorang lagi anggota ketika membeli keperluan harian, menteri kanan (kluster keselamatan) berkata perkara itu susulan permintaan awam sebelum ini.

“Jika rumah itu tiada kes Covid-19 dan selamat, kita benarkan. Suami dengan isteri, isteri dengan anak atau suami dengan anak tetapi tidak lebih dari dua,” katanya.

Kebenaran tersebut diputuskan melalui Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang diwartakan semalam.

Peraturan diterbitkan dalam Warta Kerajaan berkuat kuasa hari ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


Pengarang :