Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media di Putrajaya.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KKM kesan kluster baharu Covid-19 di Pengerang, Johor

SHAH ALAM, 22 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan kluster baharu Covid-19 di Pengerang, Johor membabitkan seorang individu yang mula mempunyai gejala pada 12 Mac lalu, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah pada 20 Mac lalu selepas kesihatannya semakin merosot.

“Sebelum dirawat di hospital, pesakit telah merentasi beberapa negeri termasuk Selangor untuk menziarah saudara-maranya,” kata Noor Hisham pada sidang akhbar harian mengenai Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Katanya, sebelum dimasukan ke hospital, pesakit mulanya pergi klinik swasta pada 16 Mac lalu dan doktor ketika itu mengesyaki beliau  demam denggi.

Jelasnya, siasatan sehingga hari ini mendapati kluster itu telah melibatkan sebanyak 15 kes positif Covid-19 iaitu membabitkan 10 rakan sekerja, lima ahli keluarga termasuk ibunya yang berusia 79 tahun dan anak perempuan berusia 10 tahun.

“Sebanyak tujuh kes daripada kluster ini masih dalam rawatan manakala lapan kes telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar hospital. Secara keseluruhan, tiga kes di dalam kluster ini telah dirawat di unit rawatan rapi.

“Jangkitan dalam kalangan ahli keluarga yang menetap di negeri lain adalah dipercayai berpunca daripada aktiviti kunjung-mengunjung yang berlaku sehari sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.


Pengarang :