AGENDANASIONAL

KKM metrai perjanjian, tingkat perkhidmatan dalam talian

SHAH ALAM, 1 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama empat syarikat perkhidmatan kesihatan bagi sistem janji temu dalam talian dan ‘Webinar for Covid-19’, kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata kolabrasi itu diharap dapat mengurangkan kesesakan di klinik kesihatan bagi tujuan penjarakan sosial semasa pandemik Covid-19.

Ia juga dilaksanakan tanpa melibatkan sebarang kos kepada kerajaan sebaliknya syarikat utama iaitu Queuemed, EncoreMed, Bookdoc dan Doctoroncall melakukan inisiatif itu sebagai tanggungjawab sosial korporatnya untuk tempoh 3 bulan.

“Melalui janji temu dalam talian ini pelanggan boleh memilih slot waktu untuk datang ke klinik kesihatan KKM bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

“Bagi Webinar, ia adalah saluran alternatif untuk orang awam yang mana ianya melibatkan sesi soal jawab secara ‘web-based’ bersama pakar perubatan kesihatan awam dan pegawai perubatan KKM serta pegawai dalam kategori-kategori lain seperti dietetik,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata orang awam boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui portal moh.gov.my dan syarikat-syarikat terlibat.

Slot bagi janji temu dalam talian ini dibuka dari jam 8.30 pagi sehingga 4.30 petang dan senarai klinik kesihatan terlibat boleh dirujuk melalui portal KKM.

Waktu Webinar adalah dari 2 hingga 2.30 petang pada hari Isnin hingga Jumaat dan boleh ditonton melalui laman sesawang webinar.bookdoc.com.


Pengarang :