Anggota polis melakukan sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan di Lebuhraya Cheras-Kajang, Kajang pada 15 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Mahu pulang dari kampung perlu lapor polis

SHAH ALAM, 22 APRIL: Orang ramai yang terkandas di kampung sejak 18 Mac lalu dan berhasrat pulang merentasi negeri ke rumah mereka, boleh membuat permohanan serta laporan kepada polis mulai 25 April ini, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihak yang menghadapi situasi apabila Perintah Kawalan Pergerakan fasa pertama dilaksanakan boleh berbuat demikian secara dalam talian melalui aplikasi Gerak Malaysia dibangunkan polis bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Beliau berkata, mereka yang tiada kemudahan telefon pintar boleh melakukannya di balai polis berhampiran.

“Perkara ini masih dalam kajian, jika bermula pun mungkin selepas 1 Mei, tiada jaminan lagi (sama ada dibenarkan).

“Kita akan lihat berapa ramai nak pulang, kemudian barulah boleh merancang dan mengeluarkan tatacara operasi piawai (SOP), kita akan kaji buruk baik dan perlu dapatkan nasihat Kementerian Kesihatan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata maklumat lengkap daripada orang ramai diperlukan sebelum kerajaan dapat membuat sebarang keputusan, antara lain mengelak berlaku pergerakan secara besar-besaran.

Katanya, situasi itu tidak sama dengan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang turut dalam pertimbangan kerajaan untuk dibenarkan pulang ke kampung, selepas lama berada di kampus.

“Pelajar IPT kita tahu jumlah dan status kesihatan mereka kerana berada dalam kampus dan sentiasa dipantau, sedangkan orang ramai yang berada di kampung kita tak tahu jumlahnya,” katanya.

Dalam sidang media semalam, Ismail Sabri berkata kerajaan sedang meneliti kemungkinan membenarkan pelajar IPT yang masih berada di kolej dan kampus masing-masing untuk pulang ke kampung.


Pengarang :