BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Operasi bersepadu hingga Aidilfitri elak gangguan bekalan air

SHAH ALAM, 18 APRIL: Selangor menggerakkan Operasi Bersepadu Sumber Air (Op Sumber Air) hingga 31 Mei ini bagi mengelakkan pencemaran sungai sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga selesai sambutan Aidilfitri.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata operasi bermula semalam atas arahan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Rabu lalu.

“Dalam mesyuarat MMKN pada 15 April lalu, Dato’ Menteri Besar mengarahkan supaya Op Sumber Air bergerak semula mulai semalam (17 April) sepanjang PKP dan bulan Ramadan sehingga selesai Hari Raya Aidilfitri pada 31 Mei 2020,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dalam kenyataan meminta kerjasama semua pihak untuk menjalankan pemantau mengikut peruntukan bidang kuasa masing-masing seperti dilaksanakan ketika Tahun Baharu Cina.

“Operasi dengan kerjasama agensi Kerajan Negeri dan pihak berkaitan akan mencegah dan menangani sebarang aktiviti yang boleh mencemarkan sumber air.

“Bagaimanapun, pemantauan yang dijalankan perlu mengambil kira langkah keselamatan dan kesihatan sepanjang tempoh PKP akibat penularan Covid-19 ini,” kata kenyataan itu.

Kelmarin, Loji Rawatan Air Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Selangor, yang berpunca daripada kolam ternakan ikan.


Pengarang :