Ilustrasi pasangan bernikah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pasangan mahu nikah diminta mohon kebenaran khas sebelum 30 April

SHAH ALAM, 28 APRIL: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) meminta pasangan yang mahu bernikah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengemukakan permohonan kebenaran khas pengarah Jais sebelum 30 April ini.

Jais menerusi kenyataan di Facebook berkata ia bagi memastikan kelancaran proses persediaan teknikal di peringkat Pejabat Agama Islam Daerah masing-masing.

“Permohonan yang diterima selepas 30 April akan diproses pada 7 hingga 12 Mei (jika PKP tamat 12 Mei) bagi penyusunan semula majlis akad nikah menerusi sidang video di peringkat daerah sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Bagaimanapun, pembukaan permohonan ini akan tamat serta-merta jika tempoh PKP berakhir. Manakala, tatacara pernikahan selepas PKP akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” jelas kenyataan itu.

Jais turut menasihatkan pasangan untuk berbincang dan mendapatkan persetujuan wali serta ahli keluarga terlebih dahulu sebelum membuat permohonan mendapat kebenaran khas tersebut.

Mengikut statistik, sehingga kini Jais menerima 456 permohonan kebenaran khas bernikah dengan 387  diluluskan manakala 179 pasangan sudah melakukan akad nikah menerusi sidang video.

Sebelum ini, Pengarah Jais, Mohd Shahzihan Ahmad berkata majlis akad nikah dalam tempoh PKP di negeri ini dibenarkan melalui sidang video, dengan syarat mendapat kebenaran khas Jais.

Beliau berkata garis panduan terperinci serta ketetapan baharu yang strategik disediakan bagi memastikan pelaksanaan majlis menepati hukum, dilaksanakan dengan standard wajar, mudah difahami serta diikuti oleh pasangan terlibat kerana kaedahnya lain daripada kebiasaan.


Pengarang :