DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan sumbangan hari raya ketika majlis berbuka puasa bersama rakyat di Daerah Sabak Bernam pada 13 Mei 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Sultan tiada majlis berbuka, zakat masuk akaun bank

SHAH ALAM, 8 APRIL: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor memutuskan untuk tidak mengadakan majlis berbuka puasa dan solat tarawih bersama rakyat di masjid seluruh Selangor tahun ini.

Bagaimanapun, Sultan Sharafuddin Idris Shah tetap meneruskan sumbangan duit raya dan agihan zakat kepada asnaf serta golongan memerlukan yang disalurkan melalui akaun bank penerima.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata keputusan itu mengambil kira faktor keselamatan susulan penularan Covid-19 yang belum dapat dibendung sepenuhnya sekali gus mengelak rakyat berisiko terkena jangkitan.

“Untuk itu, pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan menyalurkan agihan zakat dan bantuan Hari Raya sebanyak RM500 kepada setiap seorang penerima dengan kaedah yang lebih selamat dan efisyen, menerusi pengkreditan terus ke akaun bank penerima.

“Manakala, bagi penerima yang tidak memiliki akaun bank, LZS  memberikan baucar tunai untuk dikeluarkan di mana-mana cawangan Bank Islam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Secara tradisi, baginda mengadakan majlis berbuka puasa bersama rakyat di seluruh negeri pada setiap Ramadan selain menyampaikan sumbangan kepada asnaf dan fakir miskin.

Mohamad Munir berkata Sultan Selangor turut menasihati umat Islam menyambut Ramadan dengan menumpukan amal ibadat di samping mematuhi panduan dan arahan terkini kerajaan.

“Baginda turut mendoakan seluruh rakyat dijauhi daripada bala bencana serta dilindungi Allah Subhanahu Wata’la, dan berharap wabak Covid-19 yang melanda negara ini dapat segera berakhir supaya rakyat dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa, sihat sejahtera, aman dan sentosa,” katanya.


Pengarang :