Antara premis perniagaan yang ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan di sekitar Kajang pada 18 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Syarikat boleh beroperasi semula selepas diluluskan MITI

SHAH ALAM, 16 APRIL: Syarikat hanya dibenarkan beroperasi semula selepas mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sementara semua pihak masih tertakluk dengan peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata polis memaklumkan peningkatan jumlah kenderaan semalam kerana mereka mengambil kesempatan memulakan operasi perniagaan walaupun belum mendapat kelulusan dan pemeriksaan lebih ketat akan dilakukan selepas ini.

“Saya ingin memberikan ingatan bahawa undang-undang tentang PKP ini masih berjalan seperti biasa. PKP belum ditarik balik, PKP berterusan untuk fasa ketiga dan sesiapa yang ingkar tetap akan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata sebarang aktiviti yang membabitkan rantaian bekalan dan pemasaran makanan serta perubatan sahaja dibenarkan beroperasi seperti sebelum ini bagi memastikan bekalan mencukupi.

Sebanyak 813 sekatan jalan raya dengan 558,548 kenderaan diperiksa di samping 56,052 pemeriksaan mengejut serta 6,364 premis diperiksa pihak berkuasa di seluruh negara semalam.

Seramai 1,315 individu ditangkap kerana ingkar PKP merangkumi 1,226 individu direman, 89 individu dijamin polis sementara 312 orang dituduh di mahkamah.


Pengarang :