Sekatan jalan raya oleh anggota polis bersama pasukan Rela di Seksyen 24, Shah Alam pada 16 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tugas polis di sekatan jalan semasa Ramadan kekal – KPN

KUALA LUMPUR, 24 APRIL: Pengoperasian dan penugasan polis pada Ramadan di setiap sekatan jalan raya (SJR) seluruh negara, berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), adalah kekal dan tiada perubahan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata mereka bertugas seperti biasa serta tiada penambahan keanggotaan manakala shif kerja juga masih sama seperti PKP sebelumnya.

“Juadah sahur dan berbuka akan disediakan dan mereka (pegawai dan anggota polis) boleh berbuka puasa secara begilir-gilir,” katanya ringkas kepada Bernama hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam perutusan khas mengumumkan PKP yang akan berakhir 28 April ini dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi sehingga 12 Mei ini.

Ini merupakan kali ketiga PKP yang mula dilaksana pada 18 Mac dilanjutkan dalam usaha kerajaan memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 di Malaysia.

-BERNAMA


Pengarang :