Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Warga asing boleh perbaharui pas kerja dalam talian

PUTRAJAYA, 22 APRIL: Permohonan memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) oleh setiap pekerja warga asing yang tamat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), boleh dibuat secara dalam talian.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pihaknya mempunyai rekod data maklumat PLKS di dalam sistem imigresen untuk memperbaharui PLKS pekerja warga asing.

“Mana-mana pekerja warga asing yang bekerja di negara ini, sekiranya mereka mematuhi dan tertakluk kepada syarat-syarat memperbaharui PLKS akan diberikan kelulusan untuk memperbaharui PLKS mereka.

“Bagi ekspatriat iaitu pegawai dagang daripada pelbagai kategori termasuk pemegang Pas Lawatan (Ikhtisas) boleh memohon untuk dapatkan temu duga secara dalam talian melalui ESD Online (Expatriate Services Division portal dan MyXpats (Malaysia Expatriate Talent Service),” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Menurut beliau, selepas permohonan dibuat, pihaknya akan mengeluarkan satu tarikh kepada ekspatriat untuk hadir temu duga selepas tamat PKP.

Khairul Dzaimee berkata bagi pekerja warga asing yang bukan dalam kategori ekspatriat seperti buruh dan pembantu rumah, majikan mereka diminta untuk membuat permohonan pembaharuan berkenaan.

Katanya, permohonan boleh dibuat melalui sistem My EG Services Bhd (MyEG) yang berhubung dengan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) dan akan diproses oleh imigresen untuk dibuat pembaharuan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata satu pertiga daripada 14,000 pegawai dan anggota imigresen ditempatkan di pintu masuk negara yang diwartakan sepanjang tempoh PKP dan akan terus memperketat kawalan di kawasan berkenaan.

Katanya, bagi mereka yang melaksanakan tugas pentadbiran, kewangan dan sebagainya pula diminta bekerja dari rumah, manakala hanya satu hingga tiga orang sahaja dibenarkan berada di pejabat bagi memastikan kelancaran pengurusan.

“Bagi pintu masuk negara, contohnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hanya satu pertiga daripada 36 kaunter imigresen dibuka dan setakat ini tiada sebarang gangguan di mana-mana pintu masuk,” katanya.

Beliau berkata imigresen juga terlibat dalam urusan membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara seperti di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dan Tambak Johor.

“Pegawai imigresen yang bertugas sebagai atase diluar negara masih bertugas membantu kedutaan Malaysia tertakluk kepada arahan semasa negara berkenaan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :