AGENSISELANGOR

710 kes denggi direkod minggu ini, dua mangsa mati

SHAH ALAM, 3 MEI: Selangor merekodkan dua kematian kes denggi bagi Minggu Epid (ME) ke-18 menjadikan keseluruhan jumlah angka korban 27 orang setakat ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor.

JKN Selangor memaklumkan jumlah kes yang didaftarkan sepanjang minggu ini juga meningkat iaitu 710 kes berbanding 626 kes pada ME ke-17.

“Trend mingguan terus menunjukkan peningkatan kes pada ME ke-18/2020 berbanding ME ke-17/2020 iaitu 13.4 peratus. Kumulatif penurunan kes denggi berbanding ME yang sama tahun 2019 adalah 7.7 peratus,” katanya menerusi laporan Pusat Kesiagaan dan Tindakan Krisis (CPRC).

Dua kematian baharu yang dilaporkan minggu ini merupakan peningkatan 12.5 peratus berbanding ME sama tahun lalu yang mencatatkan 24 kes.

JKN Selangor menyatakan daerah yang mencatatkan peningkatan bilangan dan peratus ketara adalah Petaling dengan 8,121 kes berbading 7,834 kes pada minggu sebelumnya (21.6%) manakala di Hulu Langat dengan 4,064 kes berbanding 3,934 kes pada ME ke-17 (14%)

Dalam laporan sama semua pusat kesihatan daerah dan pihak berkuasa tempatan diminta menjalankan langkah kawalan dan pencegahan mengikut arahan dikeluarkan.


Pengarang :