AGENDANASIONAL

Fomca: Kaji semula kawalan harga barangan makanan penting

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa kerajaan segera menyemak senarai kawalan harga untuk barangan makanan penting pada musim perayaan tahun ini dan menambah senarai barang yang lebih komprehensif.

Presidennya Datuk Dr Marimuthu Nadason berkata berdasarkan senarai kawalan harga dikeluarkan kerajaan hanya terhad kepada barangan tertentu seperti ayam, telur, daging, kelapa parut dan kelapa biji, yang tidak mencukupi terutama untuk menyambut perayaan penting seperti Hari Raya.

“Ikan tidak termasuk; ia adalah satu daripada item yang harganya meningkat dengan ketara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sayur-sayuran seperti kubis, kentang, bawang, bawang putih, cili juga adalah bahan makanan penting yang tidak disenaraikan, harga beberapa barangan ini meningkat mendadak.

“Satu cara membantu pengguna adalah agar kerajaan mempunyai kawalan harga yang luas supaya banyak barangan penting mampu dimiliki dan penjual tidak mengambil kesempatan daripada musim perayaan untuk menaikkan harga dan membuat keuntungan berlebihan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kerajaan harus membantu pengguna dengan mengekalkan harga makanan penting pada harga rendah supaya mampu dibeli oleh pengguna biasa pada musim perayaan ini, terutama pada masa ini ramai pengguna menghadapi tekanan kewangan yang teruk.

Selain itu, Fomca juga menyeru penggubal dasar agar kerap turun padang, jadi mereka akan memahami kebimbangan dan kesusahan rakyat terutama kalangan isi rumah golongan B40 dan M40 yang akan membantu mereka membuat keputusan yang lebih baik.

-BERNAMA


Pengarang :