Anggota penguat kuasa KPDNHEP menjalankan pemeriksaan di premis perniagaan sekitar Gombak pada 14 Mei 2020. Foto KPDNHEP Selangor
AGENSISELANGOR

Kesalahan tanda harga, dua premis kena tindakan

SHAH ALAM, 15 MEI: Dua pemilik premis perniagaan di Gombak dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) atas kesalahan berkaitan harga barang, semalam.

Menurut KPDNHEP Selangor sebuah premis dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana gagal mempamerkan dan menyelenggara tanda harga barangan.

Sebuah lagi premis dikenakan tindakan kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Operasi dijalankan oleh pasukan penguat kuasa Pejabat KPDNHEP Gombak, susulan aduan diterima melalui sistem e-aduan.

Sementara itu di Sepang, seorang peniaga yang didapati gagal mempamerkan tanda harga di premisnya dikenakan tindakan oleh KPDNHEP mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Peniaga diingatkan sentiasa mengamalkan etika perniagaan yang baik serta mematuhi peraturan dan undang-undang, manakala pengguna perlu bijak berbelanja,” katanya menerusi kenyataan.


Pengarang :