Anggota polis dari ibu pejabat polis daerah Shah Alam bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat rondaan di sekitar perumahan di Seksyen 6 Shah Alam pada 25 Mei 2020 bagi memastikan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dipatuhi. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KPN: Polis terus buru individu rentas negeri, lolos sekatan

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Polis terus memburu segelintir individu yang mengingkari arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan berjaya ‘meloloskan diri’ daripada sekatan jalan raya untuk merentas negeri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata polis mula mengenakan tindakan kompaun terhadap mereka yang ingkar PKPB, sejak sehari sebelum Hari Raya.

Beliau berkata mereka yang berjaya meloloskan diri merentas negeri sedang dikesan melalui pemeriksaan dilakukan di lokasi sekatan jalan raya seperti di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Jalan Duta, Plaza Tol Sungai Besi dan di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).

“Anggota saya yang bertugas di sekatan jalan raya juga digalakkan untuk mengenakan kompaun terhadap mereka yang ingkar PKPB.

“Sudah tiba masanya polis bertindak lebih keras terhadap perkara ini (individu rentas negeri) kerana sebelum ini kompaun tidak dikeluarkan atas budi bicara anggota bertugas,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Besi, di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata tindakan polis kemungkinan dilihat sebagai kejam kerana perlu bertindak menjaga keselamatan orang ramai.

“Apa jua cemuhan terhadap anak buah saya (anggota polis), saya terima dengan hati terbuka kerana tindakan diambil untuk kebaikan masyarakat sendiri,” katanya.

Mengenai kadar pematuhan orang ramai terhadap rentas negeri, beliau berkata kadar pematuhan orang ramai hampir mencapai 100 peratus, namun terdapat segelintir atau lebih kurang lima peratus masih ingkar arahan larangan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, selain penugasan di sekatan jalan raya, beliau berkata terdapat juga pasukan pemantau melakukan rondaan dan pemantauan di kawasan perumahan bagi memastikan masyarakat mematuhi peraturan ditetapkan untuk sambutan hari raya.

“Kami mendapati tiada kereta berkumpul di satu-satu rumah dan pergerakan kenderaan dalam daerah juga terkawal. Ini menunjukkan masyarakat faham dan mematuhi nasihat pihak berkuasa supaya melakukan kuarantin diri,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :