AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Selangor e-Bazar Raya bantu 5,000 usahawan

SHAH ALAM, 5 MEI: Selangor e-Bazar Raya membuka penyertaan kepada 5,000 usahawan tempatan menjana semula ekonomi susulan pandemik Covid-19 dengan sasaran jualan RM8 juta dalam tempoh dua bulan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha digitalisasi seiring hasrat ke arah Negeri Pintar 2025 mampu mendorong usahawan perniagaan kecil sederhana (PKS) dan mikro beralih dari kaedah konvensional apabila pengguna kerap membeli-belah secara dalam talian..

“Laman mikro ini akan membolehkan pengguna mengakses sekitar 9,000 produk daripada pelbagai jenis juadah raya, perkakas rumah, baju raya dan banyak lagi dari Mei hingga Jun ini.

“Produk jualannya berbeza setiap minggu bagi memperkenalkan barangan dan penjual baharu seterusnya memastikan ia kekal menarik,” katanya ketika sidang media Bilik Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTES) hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan Selangor e- Bazaar Raya di Bilik MTES SUK, Shah Alam pada 5 Mei 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata seramai 1,500 usahawan mendaftar sejak diumumkan dua minggu lalu dan bimbingan percuma juga diberi kepada peniaga untuk mematangkan pengusaha perkhidmatan penghantaran demi memastikan produk sampai kepada pengguna.

Bagi membantu Kerajaan Negeri mencapai matlamat ini, Shopee akan memberikan sokongan bernilai RM1 juta kepada penjual dalam bentuk alat pemasaran termasuk siaran langsung, Jualan Kilat Shocking Sale dan penghantaran percuma RM19 untuk penjual baharu di bawah Pakej Bantuan Peniaga Shope.

Mereka yang berminat untuk menyertai Selangor e-bazar Raya di Shopee boleh mendaftar secara percuma di http://tiny.cc/selangorebazar .

Untuk membeli-belah keperluan Ramadan dan Aidilfitri pengguna boleh melayari https://shopee.com.my/m/selangor-E-Bazar-raya .


Pengarang :