Anggota tentera berkawal setelah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekitar kawasan Pasar Jalan Othman di Petaling Jaya pada 10 MEI 2020. FOTO: BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKP Diperketat dilaksana jika kes Covid-19 meningkat – PM

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati rakyat agar tidak alpa dan terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memastikan pelaksanaan perintah itu memenuhi matlamatnya.

Perdana Menteri berkata sekiranya berlaku peningkatan kes Covid-19 yang ketara semasa penguatkuasaan PKPB, kerajaan akan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan terjejas.

“Kita nak elakkan perkara ini (PKPD) daripada berlaku,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan oleh stesen televisyen tempatan hari ini.

Menurut perdana menteri tempoh beberapa minggu akan datang adalah kritikal bagi negara berikutan jumlah orang ramai yang keluar untuk bekerja meningkat, sekali gus risiko jangkitan juga meningkat.

“Oleh sebab itu, saya nak merayu kepada saudara-saudari semua supaya patuhilah SOP yang ditetapkan oleh kerajaan. Bukan susah. Mudah sahaja. Elakkan tempat yang sesak, amalkan jarakan sosial dan pakai penutup hidung dan mulut serta sentiasa basuh tangan dan guna pembasmi kuman,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :