Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengawal di sekitar kawasan Bandar Baru Selayang pada 6 MEI 2020. FOTO: BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKP ketat di Selayang Baru tamat, Pasar Jalan Pudu dikawal secara pentadbiran

SHAH ALAM, 15 MEI: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketujuh di kawasan Selayang Baru, Gombak tamat hari ini.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah melakukan saringan Covid-19 ke atas semua yang terlibat,” kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, kawasan terlibat merangkumi Zon C (Jalan Besar Selayang Baru, Jalan 1 dan Jalan Indah 21, Selayang Baru).

Selain itu, Zon D (Jalan 3, 5, 7 dan 9, Selayang Baru); Zon E (Jalan 2, 4, 6 dan 8, Selayang Baru) dan Zon F (Blok A, B dan C, Selayang Makmur).

Selayang Baru diletakkan bawah PKPD mulai 25 April sehingga 3 Mei sebelum dilanjutkan sehingga hari ini kerana KKM memerlukan masa melakukan saringan ke atas semua penduduk di kawasan terbabit.

Sementara itu, Ismail Sabri mengesahkan Pasar Jalan Pudu, Kuala Lumpur tidak dikenakan PKPD seperti didakwa sesetengah pihak, sebaliknya ia hanya kawalan secara pentadbiran.

Malah, katanya, penduduk di kawasan berkenaan masih dibenarkan keluar untuk mencari barang keperluan masing-masing.

“(Pasar Jalan Pudu dikenakan PKPD) tidak benar, tetapi kita hanya buat kawalan secara pentadbiran, belum lagi tutup sepenuhnya. Jadi, kita mungkin letak kawalan dan mereka (penduduk) dibenarkan membeli makanan.

“Kita buat saringan ke atas setiap individu yang ada di kawasan kawalan secara pentadbiran,” kata beliau.


Pengarang :