Selangorkini
AGENDA GLOBAL

Agong, Presiden Turki bincang kerjasama tangani Covid-19

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima panggilan telefon secara peribadi daripada Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan di Istana Negara, hari ini.

Menurut kemas kini terbaharu di laman Facebook rasmi Istana Negara, perbualan telefon selama 30 minit yang bermula 4 petang itu bertumpu kepada perbincangan mengenai bagaimana Malaysia dan Turki boleh berkerjasama dalam menangani cabaran semasa penularan wabak dan pasca Covid-19.

“Selain itu, perkara yang turut dibincangkan adalah mengenai langkah-langkah memperkasa hubungan dua hala sedia ada dan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang,” menurut laman Facebook Istana Negara itu.

Sesi itu merupakan perbincangan julung kali di antara baginda dan Erdogan yang diadakan menerusi perbualan telefon.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda sepatutnya dijadual mengadakan Lawatan Negara ke Turki selama lima hari bermula pada 19 April lepas, namun lawatan itu telah ditangguhkan berikutan penularan wabak Covid-19.

Menurut kenyataan di laman itu juga pada 18 Disember tahun lepas, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima kunjungan hormat Erdogan di Istana Negara sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) 2019.

Turki merupakan rakan dagangan Malaysia ketiga terbesar dari Asia Barat, manakala untuk Turki, Malaysia merupakan rakan dagangan terbesar di negara ASEAN.

Tahun lepas, dari Januari sehingga Julai 2019, jumlah dagangan antara kedua negara mencatat RM5.22 bilion, dengan nilai eksport Malaysia mencecah RM4.24 bilion, manakala import dari Turki RM0.98 bilion.

Khamis lepas Erdogan menghubungi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan menerusi perbualan telefon selama 30 minit itu, kedua-dua pemimpin itu berkongsi pengalaman dalam menangani penularan Covid-19 serta perkara-perkara lain yang mempunyai kepentingan bersama.

-BERNAMA


Pengarang :