Selangorkini
Exco Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail menyampaikan replika cek pada Program Penyerahan Bantuan Kewangan Khas (BKK) Aidilfitri kepada Setiausaha dan Ahli Biro-biro MPKK Kampung Tradisi Negeri Selangor di Pejabat Daerah Kuala Selangor pada 1 JUN 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCO SELANGOR

Pengorbanan MPKK bantu penduduk tangani Covid-19 dihargai

KUALA SELANGOR, 1 JUN: Pengorbanan masa dan nyawa dipertaruhkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi membantu masyarakat ketika penularan wabak Covid-19 amat dihargai Kerajaan Negeri, kata EXCO Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi.

Rodziah Ismail berkata ahli jawatankuasa (AJK) MPKK tidak pernah putus asa membantu kerajaan menjaga kebajikan penduduk walaupun berdepan pelbagai risiko ketika negara berdepan wabak itu.

“Rata-rata AJK MPKK ini terdiri dari golongan yang berisiko kerana sudah berusia, tetapi mereka tetap menjalankan tanggungjawab dengan baik.

“Kita terhutang budi dengan jasa mereka dan diharapkan semoga Bantuan Kewangan Khas (BKK) Aidilfitri oleh Kerajaan Selangor dapat menggembirakan mereka,” katanya ketika majlis penyampaian bantuan khas kewangan RM300 kepada setiausaha dan AJK Biro MPKK daerah Kuala Selangor di sini, hari ini.

Majlis di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor itu turut dihadiri Ahli Dewan Negeri (ADN) Ijok, Dr Idris Ahmad, ADN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli dan ADN Permatang, Rozana Zainal Abidin.

Seramai 660 penerima dari 55 kampung tradisi di Kuala Selangor menerima manfaat tersebut melibatkan peruntukan RM19,800.

Pada masa sama Rodziah mengingatkan MPKK yang bertindak sebagai tulang belakang Kerajaan Negeri tidak mencampur adukkan isu politik ketika berkhidmat.

“Sekarang berlaku pergolakan politik dalam negara, tetapi saya berharap supaya MPKK lebih pentingkan untuk jaga rakyat, saya tidak mahu MPKK melakukan perkara tidak baik.

“Kalau boleh jadi ‘gentleman’, jika rasa tidak selesa, lepaskan jawatan dan sekiranya mahu kekal teruskan pikul amanah dengan seikhlas mungkin,” katanya.


Pengarang :