AGENDANASIONAL

LHDN: Kemuka borang nyata cukai pendapatan selewat-lewatnya 30 Jun

PUTRAJAYA, 22 JUN: Pembayar cukai dalam kategori yang tidak menjalankan perniagaan diingatkan untuk mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi Tahun Taksiran 2019 selewat-lewatnya pada 30 Jun.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkata pembayar cukai boleh merujuk Program Memfail Borang Nyata bagi tahun 2020 menerusi pautan http://lampiran1.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2020_Pin.3_1.pdf untuk Bahasa Melayu dan http://lampiran1.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2020_Pin.3_2.pdf untuk Bahasa Inggeris sebagai panduan mengemukakan BNCP.

Bagi pembayar cukai individu, LHDN menyediakan senarai pelepasan cukai bagi Tahun Taksiran 2019 yang boleh diakses di portal rasmi LHDNM www.hasil.gov.my > Individu > Pelepasan Cukai bagi membantu mereka mendapatkan maklumat berkaitan pelepasan cukai yang boleh dituntut ketika mengisi BNCP.

LHDN dalam kenyataan hari ini berkata sebanyak 2,175,596 borang nyata cukai bagi Tahun Taksiran 2019 diterima oleh LHDN daripada pembayar cukai sehingga 15 Jun dalam kategori yang tidak menjalankan perniagaan.

“Daripada jumlah tersebut, pengemukaan secara e-filing adalah sebanyak 2,139,360 atau merangkumi 98.33 peratus dan selebihnya secara manual (borang kertas),” katanya.

LHDN turut menasihatkan pembayar cukai untuk mengisi maklumat yang tepat serta terkini dalam BNCP mereka bagi membantu LHDN memproses setiap bayaran balik cukai terlebih bayar dengan lancar.

“Pemprosesan bayaran balik cukai terlebih bayar sentiasa menjadi keutamaan LHDNM dalam memastikan setiap pembayar cukai yang layak akan menerima bayaran balik cukai mereka dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Antara maklumat yang diperlukan untuk pemprosesan bayaran balik cukai terlebih bayar ialah nama penuh, nombor pengenalan diri, maklumat akaun bank yang aktif, alamat surat menyurat, nombor telefon, alamat e-mel dan nombor pendaftaran pertubuhan (bagi pembayar cukai kategori pertubuhan).

-BERNAMA


Pengarang :