PBTSELANGOR

MBPJ agih barangan percuma sempena ulang tahun

SHAH ALAM, 19 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengagihkan dua barangan secara percuma kepada orang ramai sempena sambutan Ulang Tahun Bandaraya Petaling Jaya ke-14 mulai esok.

Sekretariat Media Unit Komunikasi Korporatnya memaklumkan ia bagi menghargai penglibatan masyarakat setempat yang menyokong dasar dan berkongsi idea demi penambahbaikan serta pembangunan bandar raya berkenaan.

“Pemberian ini adalah baja cecair organik (liquid compost) kepada 500 pengunjung terawal bermula 9.30 pagi hingga 1 tengah hari esok di Smart PJ Waste Solution Lab Petaling Jaya dengan had maksimum 1.5 liter seorang dan membawa botol sendiri.

“Selain itu 1,000 anak pokok akan juga diedarkan pada Isnin secara pandu lalu bermula 9 pagi hingga 4 petang (bergantung pada bekalan) di Jabatan Landskap, Kelana Jaya, Petaling Jaya,” katanya dalam kenyataan.

Pihak berkuasa tempatan itu menasihatkan pengunjung supaya memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman, menjaga penjarakan sosial dan mengimbas kod QR SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) sebelum memasuki premis.


Pengarang :