PBTSELANGOR

Ingkar arahan tutup operasi, MDHS rantai pintu kilang

HULU SELANGOR, 5 JUN: Majli Daerah Hulu Selangor (MDHS) merantai pintu masuk sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Zurah, Rasa di sini yang menjalankan aktiviti melebur papan elektronik secara haram dalam tempoh notis penutupan.

Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya memaklumkan kilang itu diarah tutup dan lesennya digantung pada 10 Mei lalu tetapi beroperasi seperti biasa termasuk lori dikesan keluar masuk premis itu ketika operasi dilaksanakan MDHS bersama anggota polis kelmarin.

“Ini merupakan operasi kali kedua ke atas premis selepas MDHS mengambil tindakan sama sebelum ini atas kesalahan serupa bulan lalu,” menurut pihak berkuasa tempatan itu dalam kenyataan.

MDHS berkata premis berkenaan menjalankan aktiviti melebur papan litar untuk dijadikan ketulan pepejal batu tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan menyalah guna lesen perniagaan.

“Lesen perniagaan diluluskan tidak menyatakan aktiviti melebur dibenarkan sebaliknya hanya diberi kelulusan untuk menjalankan perkhidmatan menjual, memborong dan menyimpan aluminium, tembaga, emas, perak atau logam lain,” katanya.

Tindakan diambil di bawah UUK 43(1)(a) & (b), Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MDHS 2007 bermula 2 Jun hingga 16 Jun 2020 selama 14 hari.


Pengarang :