Sebahagian warga asing duduk dalam keadaan beratur ketika hadir untuk membuat saringan Covid-19 di Pangsapuri Langat Utama pada 1 JUN 2020. Foto BERNAMA
BERITA UTAMASELANGOR

Mukim Semenyih zon kuning terbaharu di Selangor

SHAH ALAM, 22 JUN: Mukim Semenyih menjadi zon kuning terbaharu di Selangor susulan pertambahan satu kes hari ini membabitkan jangkitan luar negara daripada pengembara Tunisia.

Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan ia antara dua kes baharu direkodkan dengan satu kes tempatan bukan warganegara.

“Sentiasa lindungi diri anda dengan amalkan penjarakan fizikal, menjaga kebersihan diri serta gunakan SELangkah setiap kali memasuki premis,” katanya menerusi Twitter.

Satu kes tempatan adalah kes saringan pra pembedahan di Hospital Selayang yang menjadikan kes kumulatif di Selangor 2,027 setakat ini.

Setakat ini, 35 mukim dikategorikan zon hijau, 21 zon kuning dan tiada zon merah.

Terdapat 15 kes positif baharu Covid-19 direkodkan di seluruh negara dengan 13 daripadanya membabitkan penularan tempatan tanpa melibatkan warganegara.

Keseluruhannya, Malaysia mencatatkan 8,587 kes dengan 289 kes aktif kebolehjangkitan dan 8,177 individu pulih.


Pengarang :