AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pengguna domestik kurang RM77 percuma tiga bulan bil elektrik

PUTRAJAYA, 20 JUN: Seramai empat juta atau 52.2 peratus pengguna domestik dengan bil elektrik sebulan kurang RM77 atau penggunaan bawah 300kWj, akan menikmati bekalan elektrik percuma selama tiga bulan di bawah Bantuan Prihatin Elektrik tambahan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pengguna yang terlibat akan mendapat bekalan elektrik percuma bagi bulan April, Mei dan Jun yang akan dikreditkan dalam bil bulan Julai.

“Pengguna domestik yang menggunakan elektrik melebihi 300kWj akan menerima potongan bil elektrik sebanyak RM231 iaitu RM77 sebulan bagi April, Mei dan Jun.

“Bantuan ini merupakan tambahan kepada diskaun bil elektrik di bawah Bantuan Prihatin Elektrik yang telah dilaksanakan sejak 1 April lepas,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Shamsul Anuar berkata sekiranya pengguna dengan penggunaan sebulan kurang 300kWj membuat bayaran bil bagi April, Mei dan Jun, bayaran itu dikreditkan semula ke dalam bil Julai.

Bagi pengguna dengan penggunaan elektrik 300kWj ke atas yang menjelaskan bil mereka, akan menerima potongan bil sehingga RM231 untuk tempoh tiga bulan itu dalam bil bulan Julai nanti, katanya.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata kajian yang dibuat oleh ST mendapati sebahagian besar pengguna elektrik yang terkesan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah pengguna dalam blok tarif 301-600kWj dengan kadar tarif 51.6 sen/kWj.

Disebabkan penggunaan elektrik yang tinggi semasa PKP, kumpulan ini terkeluar daripada blok tarif yang sebelumnya dan memasuki blok tarif yang seterusnya iaitu dengan kadar 54.60 sen/kWj yang menyebabkan bil elektrik melonjak naik sekali gus menyaksikan pengurangan diskaun daripada 15 peratus kepada hanya dua peratus.

– BERNAMA


Pengarang :