Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed ketika sidang media di Bukit Aman pada 10 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis tahan 26,366 individu semasa perintah kawalan

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Seramai 26,366 individu ditahan atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

Beliau berkata daripada jumlah itu, polis telah mendakwa 20,720 individu iaitu 78.6 peratus.

“Dalam tempoh PKP dan PKPB ini juga, iaitu sepanjang 18 Mac hingga 9 Jun tahun ini, seramai 10,875 individu telah dikompaun.

“Kesalahan yang dilakukan sehingga dikenakan kompaun adalah kerana melanggar PKP seperti ziarah Aidilfitri, merentas negeri serta kesalahan-kesalahan lain,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman di sini hari ini.

Huzir berkata polis menasihati orang ramai agar terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) serta arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 31 Ogos.

PKPP mulai dilaksanakan hari ini dengan pelbagai kelonggaran diberikan oleh kerajaan, antaranya kebenaran perjalanan rentas negeri dan hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan serta sektor ekonomi akan kembali beroperasi secara berperingkat.

– BERNAMA


Pengarang :