Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

FAM teliti SOP latihan untuk skuad kebangsaan, B-19

SHAH ALAM, 10 JUN: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang meneliti tatacara operasi piawai (SOP) sebagai persiapan latihan pusat skuad kebangsaan dan bawah-19 (B-19) pasca Covid-19.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam berkata pihaknya akan mengkaji SOP setebal 33 muka surat itu supaya berpadanan dengan program latihan kedua skuad kebangsaan.

“FAM akan memastikan ia dapat disesuaikan dengan program latihan dirancang Tan Cheng Hoe (ketua jurulatih kebangsaan) dan Brad Maloney (ketua jurulatih B-19 kebangsaan) supaya dapat dipatuhi sepanjang kem berkenaan bagi menjamin kesihatan serta keselamatan semua pemain juga pegawai terlibat,” katanya di Facebook hari ini.

Ramalingam hari ini mempengerusikan mesyuarat secara dalam talian bersama Cheng Hoe dan Maloney serta Ketua Unit Sains Sukan FAM, Sivanasvaran Suppiah yang juga fisioterapis pasukan.

Turut bersama dalam perbincangan itu ialah Ketua Unit Pengurusan Pasukan-Pasukan Kebangsaan FAM, Azfendy Azzuddin serta jurulatih kecergasan kedua-dua pasukan, Martin Stano dan Reuben Jude Balraj.


Pengarang :