AGENDANASIONAL

Saringan Covid-19 hanya di penjara, depot ada kes

PUTRAJAYA, 2 JUN: Ujian saringan Covid-19 hanya dilaksanakan di penjara atau depot tahanan yang mempunyai kes positif Covid-19 sahaja, termasuk di Penjara Sungai Buloh, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ia tidak melibatkan penjara atau depot tahanan lain di seluruh negara yang tidak mempunyai kes positif Covid-19.

“Prinsip kita sama sahaja, hanya buat saringan Covid-19 di kawasan yang terlibat sahaja seperti yang berlaku di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Semenyih dan DTI Bukit Jalil sebelum ini.

“Oleh yang demikian, saringan tidak perlu dibuat di DTI atau penjara di tempat lain kerana tidak mempunyai kes Covid-19,” katanya dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata penjara di Sungai Buloh mempunyai lapan blok, namun hanya blok yang terlibat sahaja yang akan disaring Covid-19.

“Oleh kerana satu blok berkaitan tidak bercampur dengan blok lain, maka satu sahaja blok disaring,” katanya.

Ismail Sabri berkata mulai hari ini, seramai 600 banduan akan menjalani saringan Covid-19 di blok yang terlibat sahaja.

Selain itu, beliau berkata 700 kakitangan penjara yang bertugas di Penjara Sungai Buloh juga akan disaring sama ada yang bertugas di blok terdapat kes atau blok yang tidak mempunyai kes Covid-19.

Sementara itu, semasa ditanya mengenai sama ada pelawat dibenarkan melawat penghuni penjara semasa tempoh PKPB, Ismail Sabri menjelaskan perkara itu tidak dibenarkan sama sekali.

“Pelawat luar tidak dibenarkan membuat lawatan di penjara sejak tempoh bermulanya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga ke hari ini (PKPB).

“Ia tidak dibenarkan kerana risau pelawat luar membawa jangkitan Covid-19 ke dalam penjara, saya tegaskan sekali lagi ia tidak dibenarkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai seorang warga Rohingya yang melarikan diri dari pusat kuarantin Covid-19 di Ipoh, semalam, Ismail Sabri berkata lelaki itu telah ditahan dan dibawa kembali ke pusat kuarantin berkenaan.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki melarikan diri daripada Pusat Kuarantin Covid-19 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), Tanjung Rambutan, Ipoh.

-BERNAMA


Pengarang :