Seramai 81 rakyat Malaysia yang terkandas di Selatan Filipina, dibawa pulang menaiki pesawat C-130H milik TUDM pada 11 Jun 2020. Foto: Facebook TUDM
AGENDANASIONAL

TUDM bawa pulang 81 rakyat Malaysia terkandas di Selatan Filipina

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Seramai 81 rakyat Malaysia yang terkandas di Selatan Filipina, dibawa pulang menaiki pesawat C-130H milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Zamboanga, Filipina semalam.

Menurut TUDM dalam kenyataan hari ini, penerbangan Misi Repatriasi Rakyat Malaysia itu bagi membawa pulang kesemua rakyat negara ini yang terkandas di Selatan Filipina berikutan pelaksanaan kuarantin komuniti dan perintah berkurung bagi menangani penularan wabak Covid-19 di negara berkenaan.

“Ekoran perintah berkurung dikuatkuasakan negara itu, semua penerbangan antarabangsa dan domestik telah dihentikan serta membawa kepada tindakan membawa kesemua mereka (rakyat Malaysia) yang rata-ratanya penduduk negeri Sabah untuk pulang ke negara.

“Pesawat TUDM telah diatur gerak bagi membawa kesemua mereka atas dasar mengambil kira faktor keselamatan rakyat Malaysia serta situasi semasa di negara berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Pesawat yang berlepas dari Pangkalan Udara Labuan pada 10 pagi semalam itu tiba di Lapangan Terbang Zamboanga dua jam kemudian.

Pesawat itu kemudiannya berlepas pulang ke tanah air pada 3.25 petang dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 4.25 petang.

Penghantaran itu turut melibatkan usaha sama Kementerian Luar Negeri dan Duta Besar Malaysia ke Filipina.

-BERNAMA


Pengarang :