Petugas menunjukkan poskad dan aplikasi e-Cencus yang digunakan bagi melengkapkan proses bancian penduduk ketika sidang media pelaksanaan banci penduduk dan perumahan Malaysia (MyCensus2020) di Seksyen 13, Shah Alam pada 10 Julai 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
SELANGOR

6.7 juta rakyat Selangor terlibat Banci 2020

SHAH ALAM, 10 JULAI: Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Selangor dijangka membanci 6.7 juta penduduk membabitkan dua juta kediaman di negeri ini bermula 7 Julai hingga 24 Oktober.

Pengarahnya berkata pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020) fasa pertama meliputi pengumpulan data secara dalam talian (e-Census) dan edaran 400,000 poskad di 4,101 kawasan.

“Petugas kami bergerak ke setiap rumah untuk mengedarkan poskad dengan memakai vest rasmi berwarna biru, kad kuasa pegawai banci serta surat pengenalan bagi mengelak aktiviti penyamaran dan penipuan.

“..sokongan dan penglibatan penduduk Selangor penting bagi memastikan setiap maklumat yang diberikan berintegriti dan dipercayai kerana ia digunakan sebagai sumber dalam membuat keputusan tepat,” kata Muhammad Amri Idris dalam sidang media hari ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas sokongan dan bantuan yang diberikan bagi menjayakan Banci Malaysia 2020.

Banci penduduk dan perumahan dilaksanakan setiap 10 tahun dan Banci 2020 merupakan siri keenam dengan slogan ‘Data Anda, Masa Depan Kita’.


Pengarang :