SSM menerima 4,542 permohonan penamatan perniagaan manakala 82,555 perniagaan baharu didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.
AGENDANASIONAL

Daftar baharu syarikat melebihi tamat operasi sejak April

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Jumlah perniagaan baharu yang didaftarkan melebihi jumlah permohonan penutupan perniagaan berdasarkan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi tempoh 1 April hingga 19 Julai lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata sejumlah 4,542 permohonan penamatan perniagaan diterima oleh SSM manakala 82,555 perniagaan baharu didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.

“Statistik itu menunjukkan jumlah perniagaan baharu yang didaftarkan jauh melebihi jumlah permohonan penutupan perniagaan iaitu sebanyak 95 peratus bagi tempoh yang dimaksudkan itu,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) yang ingin tahu jumlah perniagaan yang menggulung perniagaan pada April, Mei, Jun dan Julai 2020, serta jumlah perniagaan baharu yang didaftarkan di dalam tempoh yang sama.

Dalam pada itu, Rosol berkata pendaftaran syarikat yang meningkat daripada April hingga Julai kebanyakannya adalah sektor e-dagang atau berniaga secara dalam talian memandangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“…kerana ketika itu kedai fizikal tidak dibenarkan beroperasi, jadi e-dagang dan dalam talian menjadi rebutan atau dipraktikkan oleh peniaga di negara ini,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai jenis sektor perniagaan baharu yang didaftarkan sepanjang tempoh itu.

-BERNAMA


Pengarang :