Selangorkini
EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Izham Hashim menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor pada 14 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCO SELANGOR

EXCO cadang jalan persekutuan diwarta bawah Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 14 JULAI: EXCO infrastruktur dan kemudahan awam mencadangkan supaya jalan persekutuan di negeri ini diwartakan di bawah Kerajaan Negeri bagi memudahkan kerja penyelenggaraan.

Ir Izham Hashim berkata cadangan itu dikemukakan apabila Selangor terpaksa berdepan rungutan rakyat mengenai jalan persekutuan yang kerap rosak.

“Kita tidak ada hak atau peruntukan untuk membaik pulih jalan persekutuan ini.

“Tetapi, jika ia diwartakan pada Kerajaan Negeri, kerja baik pulih akan mendapat peruntukan di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (MARRIS) sekali gus jalan baharu dapat memberi keselesaan kepada rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting Lau Weng San pada Sidang Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Izham sebelum itu turut berharap supaya rakyat dan ADN bersabar sekiranya terdapat jalan raya yang masih belum dibaik pulih.

“Ini kerana kita baharu memasuki tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dan kerja-kerja naik taraf jalan dan sebagainya baharu sahaja bermula.

“Saya harap rakyat dan ADN bersangka baik, sekiranya memang kontraktor bermasalah, kita akan tangani sebaiknya, ini kerana kerja-kerja baik pulih ini tiada niat lain melainkan dilakukan terbaik untuk rakyat sahaja,” katanya.


Pengarang :