Gelagat penyokong Selangor pada kejohanan Piala Sultan Selangor 2019 di Stadium Shah Alam. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
BERITA UTAMASELANGOR

FAS umum pas bermusim 2020 batal, jadi tiket perlawanan musim 2021

SHAH ALAM, 29 JULAI: Pas bermusim FA Selangor 2020 dibatalkan kerana baki perlawanan Liga Malaysia musim ini bakal berlangsung tanpa kehadiran penyokong di stadium.

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bagaimanapun berkata pas tersebut boleh digunakan sebagai tiket perlawanan bagi musim 2021.

“Sukacita dimaklumkan bahawa pas bermusim FA Selangor musim 2020 dibatalkan dan akan dibawa ke hadapan bagi musim 2021.

“Namun, pas bermusim 2020 hanya boleh digunakan sebagai tiket perlawanan bagi musim 2021 sahaja, tidak termasuk kelebihan dan manfaat lain sebagai pemegang Team Card,” kata FAS menerusi Facebook semalam.

Sehubungan itu FAS berharap pengumuman tersebut dapat menjawab segala persoalan berhubung status pemegang pas bermusim 2020 dan menjelaskan segala kekeliruan yang wujud sebelum ini.

Aksi Liga Malaysia 2020 disambung semula 26 Ogos hadapan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) selepas ditangguhkan sejak Mac lalu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

“FA Selangor sentiasa komited dalam mengutamakan kepentingan penyokong dan akan terus berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penyokong setia Gergasi Merah,” katanya.


Pengarang :