Guru bertugas menyukat suhu badan murid Tabika Kemas Kampung Bukit Kuda, Labuan sebelum masuk ke kelas ketika tinjauan pada hari pertama pembukaan sesi persekolahan pada 1 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sekolah perlu sedia alat cegah Covid-19, bukan guru

SHAH ALAM, 16 JULAI: Pihak sekolah perlu menyediakan peralatan pencegahan Covid-19 seperti cecair pembasmi kuman, pelitup muka dan alat saringan suhu badan, kata menteri kanan kluster keselamatan.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penyediaan peralatan tersebut bukan berada di bawah tanggungjawab guru sebaliknya Kementerian Pendidikan telah memberi peruntukan kepada sekolah.

“Apabila kerajaan umumkan sekolah mesti sediakan pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan buat saringan suhu badan. Ia perlu disediakan sekolah bukan guru secara persendirian.

“Kementerian Pendidikan juga sudah menyalurkan peruntukan kepada semua sekolah untuk beli barangan tersebut. Oleh itu, saya harap sekolah dapat menyediakannya,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan.

Ismail berkata demikian mengulas pendedahan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam apabila terdapat guru menggunakan wang sendiri menyediakan kelengkapan perlindungan diri bagi kegunaan pelajar.


Pengarang :