Azmizam Zaman Huri menyerahkan alat pengimbas suhu badan kepada wakil sekolah di sekitar Klang. Foto Facebook Azmizam Zaman Huri.
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat sumbang 74 alat pengimbas suhu badan kepada sekolah

SHAH ALAM, 9 JULAI: Sebanyak 74 alat pengimbas suhu badan diedarkan kepada 37 sekolah sekitar Pelabuhan Klang hari ini sebagai persediaan pembukaan semula sekolah minggu hadapan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata inisiatif bersama ADN Pandamaran, Tony Leong Tuck Chee itu merupakan langkah mengekang penularan Covid-19.

“Pelajar juga termasuk golongan berisiko. Selepas ada sekolah membuat permohonan, kita cuba bantu. Memandangkan banyak program dirancang tidak dapat dijalankan akibat Covid-19, kita gunakan peruntukan itu.

“Pemberian alat pengimbas suhu badan ini diteruskan kepada 36 sekolah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) sekitar Pelabuhan Klang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azmizam berkata sekiranya Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan tambahan dana pada Sidang Dewan Negeri Selangor minggu depan, kemungkinan sumbangan alat itu diperluas ke sekolah lain.

“Alat pengimbas suhu ini antara barangan penting. Jadi kita harap bantuan ini dapat membantu sekolah dan tatacara operasi piawai (SOP) dapat dibuat,” katanya.


Pengarang :