AGENDAEKONOMINASIONAL

Celcom Axiata bantu transformasi digital PKS

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Celcom Axiata Bhd telah melancarkan kempen ‘Celcom Business: Reimagine SME for Tomorrow’ dalam usaha membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melaksanakan usaha digitalisasi serta pulih daripada impak pandemik Covid-19.

Susulan itu, Celcom Axiata hari ini melancarkan kerjasama dengan 13 rakan lain merangkumi agensi-agensi kerajaan, institusi kewangan, organisasi keusahawanan dan rakan teknologi bagi menyalurkan sumber serta pengetahuan berkaitan.

Rakan terbabit adalah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Majlis Amanah Rakyat, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad dan Bank Simpanan Nasional yang akan menggalakkan inisiatif-inisiatif kepada PKS terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Idham Nawawi berkata PKS menyumbang 38.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019.

Sehubungan itu, katanya, adalah penting untuk memastikan pertumbuhan dan kelangsungan PKS diberi keutamaan serta mampu untuk pulih dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, pada masa sama, adalah penting bagi PKS untuk memanfaatkan penggunaan digital yang berkembang pesat di Malaysia atau terus ketinggalan.

Sementara itu, Alliance Bank Bhd dan SME Corporation akan membantu PKS dari segi pembiayaan untuk memperoleh sokongan digital Celcom.

Pihak lain yang turut terbabit sebagai rakan usaha itu termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Persatuan Usahawan Wanita Bumiputra Malaysia, Persatuan PKS Malaysia, Persatuan Ejen-Ejen Penghantaran & Logistik Selangor, Microsoft, Slurp! dan Avana Asia.

-BERNAMA


Pengarang :