Ng Sze Han menyampaikan ucapan ketika program penyusunan semula peniaga dan penjaja Bandar Baru Sungai Buloh serta taklimat memudahkan permohonan permit berlangsung di Dewan Meranti, Sungai Buloh pada 15 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDAEXCOSELANGOR

Kerajaan Negeri prihatin nasib peniaga, penjaja – Sze Han

SHAH ALAM, 15 OGOS: Bantuan RM500 kepada peniaga dan penjaja kecil di bawah Pakej Rangsangan Selangor Prihatin adalah bukti keprihatinan terhadap golongan tersebut, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata Kerajaan Negeri juga melarang warga asing berniaga bagi memastikan peniaga tempatan meraih lebih keuntungan tatkala ekonomi terjejas akibat Covid-19.

“Langkah tersebut selaras aspirasi Kerajaan Negeri untuk melindungi peniaga dan penjaja kecil, malah kita pastikan setiap dasar memberi impak positif kepada rakyat.

“Dakwaan kita tidak membantu golongan penjaja adalah tidak betul, mungkin ada keputusan tidak mendapat sokongan atau tidak memuaskan hati pihak tertentu tetapi kita cuba selesaikan sekiranya ada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Penyusunan Semula Peniaga dan Penjaja Bandar Baru Sungai Buloh di Dewan Meranti, Jalan 1D di sini hari ini.

Setakat ini, Kerajaan Negeri membelanjakan RM10 juta daripada RM40 juta insentif yang diperuntukkan kepada peniaga dan penjaja kecil di bawah pakej bagi menangani kesan Covid-19.

Selangor turut meluluskan pindaan Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja 2007 bagi melarang warga asing berniaga di negeri ini.


Pengarang :