Mohd Khairuddin Othman menjawab pertanyaan media ketika program penyusunan semula peniaga dan penjaja Bandar Baru Sungai Buloh serta taklimat memudahkan permohonan permit di Dewan Meranti, Sungai Buloh pada 15 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDAAGENSIBERITA UTAMANASIONALSELANGOR

Peniaga Sungai Buloh diberi permit sementara, dibenar berniaga

SHAH ALAM, 15 OGOS: Seramai 80 peniaga dan penjaja kecil di Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen U20 di sini diberi permit sementara dan dibenarkan berniaga di kawasan tersebut sementara menunggu kelulusan tapak baharu.

Ahli Dewan Negeri Paya Jaras berkata keputusan diambil selepas mengambil kira nasib mereka yang terjejas sumber pendapatan selama beberapa bulan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kerajaan Negeri sedang mencari tapak baharu untuk menempatkan peniaga dan penjaja ini dan kita beri jaminan kawasan itu strategik serta tidak jauh dari tapak asal.

“Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) juga akan membantu golongan berkaitan mendapatkan lesen sah dengan syarat mereka mengemukakan dokumen lengkap,” kata Mohd Khairuddin Othman kepada media selepas menghadiri Program Penyusunan Semula Peniaga Bandar Baru Sungai Buloh di Dewan Meranti, Jalan 1D di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, EXCO Kerajaan Negeri itu berkata MBSA antara pihak berkuasa tempatan (PBT) terbaik di Selangor dengan menyediakan kemudahan dan infrastruktur awam terbaik.

“Janganlah disebabkan kontroversi yang berlaku beberapa hari lepas, rakyat melupakan jasa dan pengorbanan MBSA yang setia berkhidmat bagi memastikan warga Shah Alam menikmati keselesaan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Pada 12 Ogos, MBSA menjalankan operasi sita dan roboh susulan serbuan terhadap premis judi haram dan peniaga warga asing, termasuk rokok seludup di kawasan berkenaan.

MBSA juga mengeluarkan 101 notis terhadap premis yang membina struktur tambahan tanpa izin pihak berkuasa tempatan berkenaan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.


Pengarang :