Peniaga gembira menerima lesen penjaja sementara pasca Covid-19 di Dewan Hamzah Majlis Perbandaran Klang pada 19 Ogos 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

PBT diarah keluar lesen sementara bantu penjaja

KLANG, 19 OGOS: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diarah mengeluarkan lesen sementara kepada penjaja atau peniaga kecil yang berniaga di tempat selamat, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata langkah itu dapat membantu golongan berpendapatan rendah (B40) menjana pendapatan seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi.

“Setiap PBT menggunakan kaedah berbeza mengikut kesesuaian. Tiga syarat utama mendapat lesen sementara ini pertama tak timbul kacau ganggu, kedua faktor kebersihan serta kesihatan dan terakhir aspek keselamatan.

“Setiap lesen mempunyai tempoh ditetapkan dan terpulang kepada PBT sekiranya mahu memberi lesen kekal. Ketika ini kita beri lesen sementara untuk benarkan penjaja tidak berlesen berniaga,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Lesen Penjaja Sementara Pasca Covid-19 Peringkat Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini.

Beliau menambah sekiranya pemberian lesen sementara mendatangkan manfaat kepada semua pihak, ia akan diteruskan pada masa akan datang.

“PBT akan mencari lokasi sesuai untuk peniaga dan pastinya lokasi itu berhampiran serta menjadi tumpuan orang ramai. Hasrat kita adalah membantu peniaga,” katanya.

Sze Han turut mengingatkan penerima lesen memanfaat peluang yang diberi dan berniaga mengikut tatacara operasi piawai (SOP) norma baharu.


Pengarang :