Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Riang Ria Dunia Membaca 2020 tawar pelbagai aktiviti menarik

SHAH ALAM, 4 OGOS: Program Riang Ria Dunia Membaca 2020 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dengan kerjasama Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) kembali menceriakan kanak-kanak bermula 8 Ogos ini.

Pengarah PPAS Mastura Muhamad berkata program bercerita yang diselangi dengan aktiviti kraftangan dan permainan mengikut tema penceritaan diadakan dua kali sebulan di beberapa lokasi terpilih.

“Program ini diadakan semula selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada kanak-kanak, ibu bapa dan pencerita yang menyedari keperluan merapatkan jurang membaca antara masyarakat di bandar serta desa.

“Selain memupuk minat dan kesedaran kepentingan membaca, program ini sebagai medium melatih, mengiktiraf serta mengaktifkan jaringan pencerita di peringkat komuniti,” katanya kepada SelangorKini.

Antara perpustakaan terpilih ialah PPAS Lembah Jaya, PPAS @ PJKita Community Library, Kampung Lindungan, PPAS Hulu Bernam, PPAS Sri Perantau, PPAS Kuala Selangor, PPAS Kajang, PPAS Sg Udang, Klang, PPAS Dato’ Ahmad Razali, Dengkil dan PPAS Bukit Kapar.

Mastura berkata sebagai langkah pencegahan Covid-19, pihaknya menguatkuasakan tatacara operasi piawai (SOP) ketat dengan mengehadkan jumlah penyertaan bagi mengekalkan penjarakan fizikal.

Katanya, pengunjung juga perlu menjalani saringan suhu badan sebelum memasuki perpustakaan dan memakai pelitup muka serta menggunakan cecair pembasmi kuman.

“Bagaimanapun, ada beberapa sesi bercerita dibuat secara dalam talian bersama beberapa tadika yang berminat dengan menggunakan aplikasi ‘Facebook Live’ atau Zoom,” katanya.

Selain menawarkan koleksi buku cerita terkini berunsurkan rakyat dan biblioterapi, peserta juga dibekalkan sarapan pagi, hadiah dan bahan aktiviti kraftangan yang boleh dibawa pulang.


Pengarang :