EXCO Kerajaan Negeri, Dato’ Teng Chang Khim menyampaikan ucapan perasmian Jelajah Usahawan Digital Selangor 2020 di Bukit Raja, Klang pada 22 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor lengkapkan usahawan dengan kemahiran, teroka e-dagang tingkat ekonomi

KLANG, 22 OGOS: Kerajaan Negeri akan menyediakan latihan kemahiran kepada usahawan baharu menerokai dunia e-dagang lebih meluas, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata rekod untung program e-Bazar Raya Selangor pada Mei lalu menunjukkan pasaran secara maya mampu berkembang dan menjamin ekonomi.

“Kemahiran menjadi asas penting dalam norma baharu selepas berlakunya penularan Covid-19 dan kita galakkan usahawan berkecimpung dalam industri ini.

“Melalui SITEC (Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor) kita akan bentuk kemahiran. Kita tak kan berjaya jika hanya sediakan modal tapi dengan kemahiran mereka dapat memanfatkan sepenuhnya,” katanya ketika merasmikan program Jelajah Usahawan Digital Selangor 2020 hari ini.

Peserta mendengar taklimat disampaikan ketika Jelajah Usahawan Digital Selangor 2020 di Bukit Raja, Klang pada 22 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Menurut Chang Khim, industri e-dagang memerlukan modal rendah namun sekiranya diurus dengn baik ia mampu mencatatkan keuntungan tinggi.

“Sebelum Covid-19 kita dah masuk era perniagaan dalam talian ini. Namun masa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan, kita bergantung kepada konsep ini dan ternyata ia memberangsangkan,” katanya.

Pada Julai lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan inisiatif Kerajaan Negeri mengadakan e-Bazar Raya Selangor mencatat pulangan RM341.5 juta, jauh melangkaui sasaran awal RM8 juta.

Kempen dua bulan bermula Mei dengan modal RM1 juta itu disertai 8,400 usahawan dan 6,400 daripadanya golongan konvensional yang ada wadah e-dagang manakala 2,000 lagi peniaga aktif sedia ada.

Dalam program siri kedua mendapat kerjasama Lazada, Shopee, Boost, Avana, Ninja Van, Bungkusit, Hijrah Selangor dan Youbeli, seramai 200 peserta menyertainya.


Pengarang :