EXCO Kerajaan Negeri, Dato’ Teng Chang Khim. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor manfaatkan tempoh promosi, pastikan SIBS secara maya lancar

SHAH ALAM, 21 OGOS: Kerajaan Negeri akan memastikan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2020 yang pertama kali dianjurkan secara maya berjalan lancar.

Sehubungan itu, EXCO pelaburan, perindustrian dan perdagangan berkata pihaknya akan memanfaatkan sepenuhnya tempoh promosi berbaki dua bulan dengan meningkatkan kandungan pemasaran termasuk memperhebatkan promosi acara dalam talian.

“Percubaan pertama akan dijalankan minggu hadapan (25 Ogos) iaitu pembentangan siri webinar bersama pengarah iklan dari wilayah Fujian (China).

“Ini yang awal tetapi tahun hadapan kita akan mengadakan SIBS secara serentak melalui dalam talian dan fizikal,” kata Dato’ Teng Chang Khim pada temu bual bersama Media Selangor baru-baru ini.

Beliau menambah susulan pandemik Covid-19, landasan digital membolehkan Selangor dipromosikan sebagai destinasi pelaburan strategik.

“Kebiasaannya menjelang Ogos setiap tahun, kita akan melawat ke tujuh negara tetapi tahun ini hanya satu negara sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengambil kesempatan di sebalik kemelut perang dagang Amerika Syarikat-China untuk menarik lebih pelabur dari Asia melalui siri webinar ini.

“Walaupun dalam tempoh enam bulan sebelum ini kita tidak dapat bergerak secara fizikal namun kita sekarang sudah beralih ke web…
ada banyak peluang misalnya dari Taiwan dan negara-negara jiran, namun sempadan belum dibuka sehingga kita harus berkomunikasi dalam talian,” katanya.

SIBS 2020 dijadual berlangsung pada 14 hingga 17 Oktober depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur meliputi empat acara besar iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor, Konvensyen Bandaraya Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, Persidangan Perniagaan Selangor-Asean serta Ekspo R&D dan Inovasi Selangor.

Pada Belanjawan Selangor 2020, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan kesinambungan SIBS dengan peruntukan RM11 juta berikutan pencapaiannya tahun lalu memberangsangkan selepas menarik 787 pempamer, 35,000 pengunjung selain potensi transaksi perdagangan bernilai RM450 juta.


Pengarang :