Pantai Kelanang antara yang diramal dilanda fenomena air pasang besar.
AGENSISELANGOR

Awas air pasang besar, elak ke pantai Kuala Langat

SHAH ALAM, 7 SEPT: Orang ramai dilarang melakukan aktiviti di sepanjang pantai di Kuala Langat pada 18 dan 20 September, 15 sehingga 20 Oktober serta 14 dan 17 November berikutan fenomena air pasang besar.

Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat memaklumkan ketinggian paras air pada tarikh berkenaan dijangka tertinggi dalam tempoh 20 tahun.

“Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan Bencana Daerah di talian 03-3182 2565,” katanya di sini, hari ini.

Pada 3 September lalu, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor mengeluarkan amaran fenomena air pasang diramalkan berlaku dalam tempoh itu dengan ketinggian paras air laut mencecah 5.8 meter.

Kawasan di Kuala Langat yang berisiko membabitkan Pantai Kelanang, Ban Sijangkang, Jalan Harmoni, Istana Pantai Bahagia, Pesisir Pantai Tanjung Sepat, Pantai Batu Laut, Pantai Morib, Ban Kampung Kundang, Pekan Tanjung Sepat dan Rumah Peranginan Persekutuan Morib.


Pengarang :