Orang ramai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka ketika menunggu giliran ujian calitan Covid-19 bagi mereka yang baru tiba dari Sabah di Hospital Labuan pada 28 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Empat daerah di Sabah rekod 1,195 kes sejak 1 September

SHAH ALAM, 28 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat 1,195 kes jangkitan Covid-19 di empat daerah di Sabah bermula 1 hingga 27 September lalu.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Tawau merekodkan kes tertinggi iaitu 634, Semporna (255), Lahad Datu (241) dan Kunak (65).

“Mengambil kira jumlah kes tersebut, kerajaan atas nasihat menteri kesihatan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran di kawasan ini.

“Arahan berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam ini, 29 September sehingga 12 Oktober 2020 melibatkan 962,661 penduduk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata pelaksanaan PKPDB bagi membendung penularan Covid-19 di daerah tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar sepanjang tempoh 14 hari.

Beliau berkata susulan itu, penduduk tidak dibenarkan keluar dari kawasan terlibat selain pelawat turut dilarang masuk.

“Semua aktiviti perniagaan juga dihentikan kecuali premis barangan keperluan dan perkhidmatan, pangkalan perubatan asas dibuka dan semula laluan keluar masuk ditutup,” katanya lagi.

 

 


Pengarang :