Orang ramai mematuhi arahan mengenakan pelitup muka selepas kerajaan mewajibkan penggunaannya di tempat awam bagi mengawal penularan Covid-19 ketika tinjauan di sekitar Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 di Malaysia meningkat

SHAH ALAM, 1 SEPT: Kadar kebolehjangkitan atau R-naught (R0) Covid-19 negara ini meningkat kepada 1.0, berbanding 0.74 pada 26 Ogos lalu, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata susulan kenaikan kadar itu dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, kawalan sempadan negara perlu diteruskan dan dimantapkan.

“Langkah ini wajar diteruskan malah perlu diperkukuhkan bagi memastikan jangkitan Covid-19 dari luar negara tidak menular ke dalam Malaysia.

“Implementasi kawalan sempadan yang lebih ketat sememangnya memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham turut melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes Covid-19 di luar negara ekoran musim sejuk selain peningkatan penyakit saluran pernafasan termasuk jangkitan paru-paru pada musim itu.

“Situasi ini membimbangkan kerana kebanyakan kes mutakhir di negara ini adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara,” katanya.

Sementara itu, beliau menyambut baik keputusan menyekat kemasukan pemegang pas jangka panjang warganegara India, Indonesia dan Filipina ke Malaysia berkuat kuasa 7 September.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu diputuskan mesyuarat khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP selepas mengambil kira peningkatan kes Covid-19 dari beberapa negara selain atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Pengarang :