Mohd Khairuddin Othman ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Selangor Xtiv Virtual Youth Busking di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 Ogos 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Karnival Kerjaya Selangor 2020 mulai 3 Oktober, tawar 24,500 kekosongan

SHAH ALAM, 15 SEPT: Karnival Kerjaya Selangor 2020 (Selangor Mega Job Fair 2020) yang menawarkan 24,500 peluang pekerjaan bakal berlangsung di sembilan lokasi mulai 3 Oktober hingga 29 Disember ini.

EXCO pembangunan generasi muda berkata lokasi pertama dianjurkan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) selama dua hari dengan sasaran 15,000 pengunjung.

“Program di SACC membabitkan 60 majikan yang menawarkan 5,000 peluang pekerjaan. Bagi program peringkat daerah, kerja ditawarkan mengambil kira faktor demografi serta keperluan pasaran,” kata Mohd Khairuddin Othman dalam sidang media di sini hari ini.

Justeru, beliau menggalakkan rakyat pelbagai peringkat umur di negeri ini mengambil peluang dan mengalu-alukan penyertaan dari seluruh negara.

“Berdasarkan maklumat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), seramai 20,000 penganggur direkodkan di negeri ini, jadi kita harap rakyat ambil peluang,” katanya lagi.

Selangor Mega Job Fair 2020 dianjurkan hasil kerjasama Kementerian Sumber Manusia, Jobs Malaysia dan Perkeso. Majikan terlibat antaranya Pengurusan Air Selangor, 99 Speedmart serta kilang pembuatan dan pengeluaran.

Mereka yang berminat boleh mendaftar melalui laman web rasmi JobsMalaysia Selangor atau hubungi Pusat JobsMalaysia Selangor di talian 03-55247740 dan 03-55231309.

Pendaftaran secara dalam talian juga boleh dibuat bermula 15 September di pautan http://nfdot.com/ereg/views/jobfair/ . Pemohon akan mendapat kod QR dan disediakan laluan khas di setiap lokasi untuk yang sudah mendaftar.

Berikut adalah lokasi dan tarikh program:

1. SACC Shah Alam (3 dan 4 Oktober)
2. Stadium Tertutup Kuala Selangor (10 dan 11 Oktober)
3. Dewan Orang Ramai Telok Panglima Garang, Kuala Langat (24 dan 25 Oktober)
4. Pusat Komuniti Gombak (7 dan 8 November)
5. Dewan Seri Cempaka Kajang, Hulu Langat (14 dan 15 November)
6. Sepang (21 dan 22 November)
7. Hulu Selangor (5 dan 6 Disember)
8. Sabak Bernam (12 dan 13 Disember)
9. Klang (28 dan 29 Disember)


Pengarang :