Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan perasmian ketika Majlis Penjenamaan Projek Rumah Idaman Taman Air Manis, Sabak Bernam berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam, Shah Alam pada 15 September 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB sifatkan Belanjawan Selangor 2021 dalam suasana Covid-19 paling mencabar

SHAH ALAM, 15 SEPT: Belanjawan Selangor 2021 yang bakal dibentangkan pada 30 Oktober disifatkan paling mencabar dalam suasana ekonomi kurang memberangsangkan impak penularan Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri perlu mengambil pendekatan kemakmuran bersama bagi memastikan pertumbuhan mapan dan terangkum yang memberi manfaat kepada semua golongan.

“Belanjawan kali ini berbeza dengan Belanjawan 2019 dan 2020 yang mana ketika itu kadar pembangunan serta kemajuan rancak berjalan tanpa ada gangguan, namun pembentangan kali ini mungkin ada sedikit perubahan dalam hala tuju negeri.

“Walau apa cabaran, kita yakin dengan segenap potensi dan keupayaan serta dengan ketangkasan rakyat dan ketangkasan pentadbiran negeri, kita mampu mengharunginya bersama,” kata Dato’ Menteri Besar pada Majlis Penjenamaan Semula Projek Perumahan Idaman Taman Air Manis hari ini.

Sebelum ini, Amirudin berkata belanjawan 2021 merangkumi lima tonggak utama iaitu pertama membabitkan pertanian, pelancongan dan agro pelancongan.

Kedua mengenai kesihatan awam dan bandar berdaya huni, ketiga adalah usahawan mikro, digitalisasi dan kemiskinan bandar, keempat penciptaan kekayaan dan kelima industri kreatif.

Selain itu rakyat turut diminta mengemuka idea dan pandangan berhubung belanjawan menerusi portal amirudinshari.com/selangor2021 untuk penilaian dan pertimbangan.


Pengarang :