Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Dato’ Nor Azmie Diron (tengah) menyerahkan hadiah kepada pemenang sambil disaksikan Pengurus Besar Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad (kanan) pada Kejohanan Golf Tourism Selangor di Templer Park Country Club, Rawang pada 13 September 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pelancongan golf jadi aktiviti utama di Selangor

RAWANG, 14 SEPT: Pelancongan golf kini menjadi aktiviti utama di Selangor seterusnya merancakkan kembali sektor pelancongan yang terkesan akibat Covid-19, kata pengurus besar Tourism Selangor.

Azrul Shah Mohamad berkata sebanyak 29 kelab golf bertaraf antarabangsa terletak di Selangor dan tumpuan diberikan kepada penganjuran kejohanan peringkat domestik untuk menarik pelancong.

“Penularan Covid-19 menyebabkan tiada kejohanan golf bertaraf antarabangsa dianjurkan, jadi Tourism Selangor perlu menyusun kalendar penganjuran pelancongan golf peringkat domestik.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan, kita dapati ada permintaan tinggi untuk menganjurkan kejohanan golf di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kejohanan Golf Tourism Selangor 2020 kali kedua di Templer Park Country Club semalam.

Beliau berkata Tourism Selangor dengan kerjasama Liberty Golf Services bakal menganjurkan Kejohanan Golf Klasik Selangor 2020 di The Mines Resort and Golf Club, Seri Kembangan dan Kota Permai Golf and Country Club, Shah Alam pada 29 hingga 30 September.

“Penganjuran ini sebagai usaha mempromosi pelancongan domestik di negeri ini serta mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab pelancongan golf terkemuka di Malaysia.

“Bagi tempoh jangka panjang pula terutama selepas penularan Covid-19 tamat, Tourism Selangor akan meneruskan usaha promosi menjadikan Selangor sebagai destinasi utama sukan golf di peringkat antarabangsa,” katanya.


Pengarang :