Aksi penjaga gol Arishah Qarinah Mohammed Nijam, 16 tangkas mengawal gawang ketika menjalani sesi latihan bersama skuad hoki Selangor di Stadium Hoki Petaling Jaya pada 2 Jun 2020. Foto ASRI/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Piala Tun Razak: Juara bertahan Melaka, Selangor akui cabaran berbeza

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Juara bertahan Piala Tun Abdul Razak, Melaka mengakui bakal berdepan laluan berliku dalam usaha mempertahankan gelaran apabila edisi ke-58 saingan itu berlangsung di Stadium Hoki Nasional, bermula esok hingga 26 Sept ini.

Ketua Jurulatih, Azrul Effendy Bistamam berkata ia berikutan persiapan pasukan yang dilakukan hanya selama empat minggu berikutan pandemik Covid-19, selain keputusan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yang membenarkan setiap pasukan menggunakan pemain kebangsaan pada edisi kali ini.

Walaupun Melaka mempunyai enam pemain skuad kebangsaan termasuk tiga daripada pasukan junior, beliau dijangka kehilangan tiga pemain iaitu seorang pemain skuad senior dan dua pemain junior akibat kecederaan.

“Tempo perlawanan pada tahun ini akan berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini dengan adanya ramai pemain kebangsaan. Kita akan fokus satu demi satu perlawanan untuk mara dahulu ke separuh akhir sebelum fikirkan kejuaraan.

Perak dan Kuala Lumpur dijangka memberi cabaran sengit kerana dibarisi ramai pemain kebangsaan. Kita juga tidak boleh pandang ringan naib juara, Johor, walaupun dibarisi pemain Sukan Malaysia (Sukma), ramai pemain mereka berkualiti,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat pengurus pasukan hari ini.

Ketua Pasukan Melaka Muhammad Firdaus Omar, pula menganggap setiap pasukan mempunyai kelebihan masing-masing, justeru pihaknya mahu memberikan tumpuan terhadap satu demi satu perlawanan.

Melaka yang diundi dalam Kumpulan A, dijadual membuka tirai menentang Perlis, malam esok, diikuti aksi menentang Pulau Pinang pada Isnin.

Sementara itu, juara bertahan kategori wanita, Selangor bersedia untuk menghadapi cabaran sengit apabila diundi dalam Kumpulan A bersama-sama pasukan handalan seperti Terengganu, Pulau Pinang dan Perak.

Ketua Jurulatihnya, Ifmal Abdul Jaabar mengakui merasai tekanan untuk mendapatkan keputusan terbaik apabila pasukan itu dibarisi lapan pemain kebangsaan, termasuk enam pemain junior.

“Tekanan bagi saya lebih tinggi, tetapi ada juga kelebihan kerana pemain kebangsaan lebih memahami sistem dan taktikal, jadi mereka boleh membantu menerapkannya kepada pemain muda. Kumpulan kami mencabar, tetapi kami mahu fokus utamakan prestasi sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh mengesahkan skuad wanita Kedah menarik diri kerana kebanyakan pemain yang terdiri daripada pelajar sekolah tidak mendapat pelepasan akibat peningkatan kes Covid-19 di negeri berkenaan.

Kejohanan kali ini menyaksikan sebanyak 15 pasukan beraksi dalam kategori lelaki, kecuali Sarawak, manakala 11 pasukan merebut gelaran juara wanita apabila Johor, Kelantan, Perlis dan Sabah turut tidak mengambil bahagian.

Terdahulu, beliau menyerahkan geran tahunan sebanyak RM5,000 kepada setiap pasukan bertanding.

Jadual esok:

Wanita

Kumpulan A: Selangor lwn Terengganu, Pulau Pinang lwn Perak (7.30 pagi)

Kumpulan B: Kuala Lumpur lwn Melaka, Pahang lwn Selangor (9.30 pagi)

Lelaki

Kumpulan D: Kuala Lumpur lwn Pahang (3 petang), Negeri Sembilan lwn Kedah (4 petang)

Kumpulan C: ATM lwn Kelantan (5 petang), Terengganu lwn PDRM (6 petang)

Kumpulan B: Sabah lwn Selangor (7 petang), Johor lwn Perak (8 malam)

Kumpulan A: Melaka lwn Perlis (9 malam).

-BERNAMA


Pengarang :