Dua anggota polis trafik Koperal Asharin Suhardi (kiri) dan Koperal Muhamad Faireez Abdullah (kanan) menunjukkan jari yang telah dicelup dakwat pada proses mengundi awal Pilihan Raya Negeri Sabah di Dewan Datu Paduka Mat Salleh di Pangsapuri Polis Diraja Malaysia pada 22 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PRN Sabah: Lebih sejuta rakyat dijangka keluar mengundi

KOTA KINABALU, 26 SEPT: Lebih sejuta rakyat Sabah akan keluar mengundi hari ini pada pilihan raya mengejut yang berlangsung dalam suasana pematuhan ketat tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 menyaksikan sejumlah 447 calon daripada 15 parti politik termasuk 56 calon Bebas bertanding bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam persaingan banyak penjuru dengan purata enam calon bagi setiap kawasan.

Petugas jabatan kesihatan dan anggota pasukan keselamatan berdepan tugas berat bagi memastikan rakyat dapat melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi dan pada masa sama, keselamatan mereka terpelihara daripada jangkitan virus berbahaya itu.

Bagi tujuan itu, seramai 1,594 petugas kesihatan ditempatkan di pusat mengundi di seluruh Sabah manakala polis memberi jaminan bahawa rakyat boleh keluar menunaikan kewajipan mereka dengan tenang tanpa sebarang kebimbangan.

Sejumlah 14,935 pemilih berdaftar mengundi secara pos manakala 16,877 pengundi awal pula sudah melaksanakan tanggungjawab masing-masing pada 22 September lepas dengan 76 peratus keluar mengundi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh berkata sebanyak 2,540 saluran dibuka di 741 pusat mengundi hari ini dari 7.30 pagi hingga 5 petang dan seramai 17,257 petugas pilihan raya akan memastikan pengundian berjalan lancar.

Beliau berkata SPR juga akan menggunakan 20 helikopter untuk urusan penghantaran kertas undi ke pedalaman termasuk pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Saliliran dalam kawasan DUN Nabawan serta Pulau Dinawan yang terletak dalam DUN Sulabayan.

Abdul Ghani turut memberi jaminan tidak akan ada pengundi hantu pada PRN kali ini.

Katanya keputusan dijangka diketahui seawal 10 malam.

Hari ini cuaca diramalkan hujan di satu dua tempat di bahagian Pantai Barat, Kudat, pedalaman dan Sandakan pada sebelah pagi manakala pada sebelah petang, Jabatan Meteorologi meramalkan berlaku ribut petir di satu dua tempat di bahagian Pantai Barat, pedalaman dan Sandakan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali pula memberi jaminan proses PRN Negeri Di bawah Bayu akan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan dan meminta orang ramai keluar mengundi tanpa sebarang keraguan.

Beliau memberi amaran pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang membuat provokasi dan kekecohan pada pilihan raya itu selain mengingatkan semua pengundi supaya mematuhi SOP bagi mengekang penularan Covid-19.

PRN Sabah hari ini juga bakal menyaksikan 13 DUN baharu iaitu Bengkoka, Bandau, Limbahau, Tulid, Segama, Kukusan, Pintasan, Pantai Dalit, Darau, Tanjung Keramat, Lamag, Telupid dan Sungai Manila menjadi rebutan buat pertama kali.

Antara yang menjadi tumpuan ialah perebutan kerusi di DUN Senallang, Sulaman, Pintasan, Bongawan, Tambunan and Api-Api.

Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan mempertahan kerusi Senallang dalam pertandingan enam penjuru dengan saingan utama dijangka daripada anak buahnya sendiri iaitu Norazman Utoh Nain, calon Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga Pengerusi PN Sabah Datuk Hajiji Noor pula berdepan pertandingan tiga penjuru dengan pencabar utamanya juga adalah anak buah sendiri iaitu Datuk Aliasgar Basri, calon Warisan.

Ketua Umum USNO yang juga bekas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) yang juga bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew masing-masing bertanding di DUN Pintasan, Bongawan, Tambunan dan Api-Api.

Perebutan bagi kerusi DUN Api-Api dianggap paling panas kerana persaingan sengit dalam pertandingan sembilan penjuru yang menyaksikan penyandang Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew dicabar Timbalan Presiden PBS Datuk Dr Yee Moh Chai, Datuk Pang Yuk Min (Timbalan Presiden PCS), Datuk Chin Su Phin (Presiden LDP) dan lima calon lain.

PRN Sabah diadakan selepas Mohd Shafie membubarkan DUN pada 30 Julai sehari selepas bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa mendakwa telah memperoleh cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.

– BERNAMA


Pengarang :