EXCOSELANGOR

Program Komuniti Selamat diperluas, atasi keganasan rumah tangga

SHAH ALAM, 8 SEPT: Program Komuniti Selamat bakal diperluas ke semua daerah pada tahun depan bagi mengatasi isu keganasan rumah tangga yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

EXCO Pemberdayaan Wanita Dr Siti Mariah Mahmud berkata program tersebut merupakan inisiatif meningkatkan kesederan dalam kalangan masyarakat untuk mencegah dan bertindak balas terhadap keganasan rumah tangga.

“Komuniti Selamat yang dianggotai golongan lelaki dan wanita diharap dapat membantu Kerajaan Negeri memerangi keganasan rumah tangga selain bertindak sebagai mata dan telinga di kawasan masing-masing.

“Bengkel Komuniti Selamat bakal diadakan dalam tempoh terdekat bagi membolehkan semua pihak bertukar pandangan serta mencari penyelesaian bersama dalam isu keganasan rumah tangga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pra Pelancaran Produk Tanjung Suri di Isetan KLCC, Kuala Lumpur hari ini.

Program Komuniti Selamat merupakan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) yang telah dilaksanakan di empat daerah iaitu Kuala Selangor, Klang, Hulu Selangor dan Petaling Jaya pada Oktober tahun lalu.


Pengarang :